Sebenarnya aku nak menaip entri berkenaan projek yang menyebabkan aku sibuk hampir 3 bulan. Dalam masa 3 bulan itu jugalah, hampir setiap hari aku berada di sekolah sehingga jam 5 petang. Tapi memandangkan aku lupa bayar bil internet, maka tak dapatlah aku online menggunakan komputer riba. Sila umpat aku sebab tak reti nak sambungkan internet handphone dengan komputer. (LTS ada ajar dulu, tapi aku tak ingat caranya. Mamat tu kalau bercakap memang laju.)
Sebenarnya awal tahun ini aku merancang untuk sambung belajar. Cita-cita sudah lama ada, tetapi aku merasakan sekaranglah masa yang lebih sesuai. Sebabnya, aku sudah ada sedikit pengalaman berada di sekolah. Berhadapan dengan pelajar, urusan pentadbiran, berjumpa dengan ibu bapa dan lain-lain perkara yang sebenarnya kalau ikut logik akal, bukan tugas cikgu.
Tetapi rancangan Tuhan di luar jangkaan aku. Keadaan Ayah dan Incik Bulat membuatkan aku sungguh tak akan mampu untuk menyambung pelajaran. Ada sedikit cemburu dan kecewa. Cemburu pada kawan yang sudah memulakan pengajian dan ada yang sudah bergraduat tahun ini. Kecewa kerana rancangan aku tidak kesampaian. Benar kata kawan kesayangan aku, aku takkan mampu melakukannya tahun ini. Komen dia bukan untuk melemahkan aku. Tetapi dia menganalisis situasi aku sebelum memberi komen.
Sudahnya, kerana kecewa berganda (mungkin lebih kecewa kerana putus cinta), aku habiskan banyak masa di sekolah. Melatih anak-anak berlakon. Aku salurkan kekecewaan dengan menyibukkan diri. Hasilnya tidaklah begitu mengecewakan. Bahkan bila aku beritahu kawan baik tentang projek drama/ sketa dan pertandingan sketsa yang aku buat, dia mengesyorkan aku menjadikannya projek sekiranya aku menyambung pelajaran nanti. Persoalannya, diterimakah?
Kalau di ikutkan kecenderungan, aku lebih menjurus ke arah sastera. Tetapi pasaran mungkin kurang. Berapa banyak sekolah di Malaysia yang menawarkan subjek English Literature untuk dipelajari untuk SPM? Yang lebih realistik, menyambung dalam bidang pendidikan juga.
Mungkin impian itu terpaksa dipendam untuk beberapa tahun lagi. Lagi pun, tahun depan sudah semestinya aku sibuk dengan jawatan baru- Setiausaha Ko Kurikulum. Runsing, kalau ada yang akan cakap belakang kerana aku masih baru lagi. Bahkan, mengikut cakap-cakap, jawatan itu sebenarnya disandang oleh guru DG44. Aku? Harap maklum, masih tak sah jawatan lagi walaupun sudah berkhidmat selama 3 tahun 4 bulan. Sila gelak, sebab aku malas mahu bergaduh dengan kerani di pejabat untuk menguruskan pengesahan jawatan aku.
Ini entri emo. Sebab aku tak ada lawan bergaduh kerana sekarang cuti sekolah. Kalau tak cuti, aku boleh berperang dengan anak- anak ^_^
1 comment:
Hmm aku pegang su hem, guru pengawas, ngan smm..sgt2 tension... Ttg su aku tak rasa hanya utk dg44 je.. Tp dia tgk sape yg boleh buat keje n aktif..
Post a Comment