Monday, December 26, 2011

Projek Master Saya

Hampir sebulan blog ini tidak dikemaskini. Walaupun saya dikategorikan bercuti panjang, kira-kira enam minggu, sebenarnya saya rasa saya tidak bercuti. Bezanya saya tidak perlu bangun seawal 5 pagi, bersiap dan ke sekolah. Kerja saya tidak pernah habis walaupun sekolah bercuti.

Cita-cita itu tidak pernah padam. Kalau entri sebelum ini dibaca, anda pasti perasan yang saya sebenarnya berhajat menyambung pelajaran ke peringkat Master. Saya cemburu. Cemburu dengan kawan kawan seangkatan yang sudah menyambung pelajaran dan ada yang sudah bergraduat. Dan mereka semua sudah berkahwin. Saya?

Bagi memujuk diri sendiri, saya katakan mungkin satu hari nanti saya akan menyambung pelajaran semula. Bila? Tidak tahu. Mungkin saya perlu mengumpul lebih banyak pengalaman di lapangan (mengajar) sebelum menyambung pelajaran. Mungkin juga perkara itu tidak langsung akan terjadi juga (sangat pesimis!).

Tetapi saya kira saya sudah ada 'Projek Master' saya sendiri sepanjang tahun ini.

Projek Master 1
Sketsa Warisan

Di pentaskan (walaupun tidak ada pentas sebenar) ketika sambutan Hari Kemerdekaan peringkat sekolah. Satu kelainan tahun ini, mungkin juga berbanding 5 tahun lepas. Diberi kepercayaan untuk membentuk kumpulan sendiri, sekurang kurangnya saya berbangga dengan hasil kerja saya yang pertama. Anak anak ini bermula dari sifar. Saya menulis skrip, memilih, mengedit lagu (editing pertama saya buat, editing kedua pelajar buat), melatih pelajar. Persembahan mereka juga cukup bagus bagi mereka yang tidak pernah/ sudah lama tidak berlakon.

Projek Master 2
Buku Gangguan

Buku pertama mengandungi tulisan saya yang diterbitkan secara bercetak. Sekurang kurangnya kawan kawan saya yang lain tidak ada yang membuat begini. (Nilai tambah untuk diri sendiri ^_^)


Sempat juga saya menyelit agenda makan makan indie- jamuan raya ala pot luck kelas. Projek haram kerana TIDAK dimaklumkan kepada pihak pentadbiran dan semestinya tidak mendapat kebenaran! Yang lebih ekstrim, saya cuma hadir ke jamuan ketika tetamu sudah habis pulang. Saya tukang kemas dengan anak anak yang masih tinggal.

Projek Master 3
DIE! Project

Projek drama tahunan saya masuk tahun kedua. Sudah ada peningkatan berbanding tahun lepas. Dipentaskan di dewan sekolah (tahun lepas dewan dalam proses baik pulih) dan anak-anak mendapat sijil penghargaan. Masih didanai diri sendiri, InsyaAllah tahun hadapan akan mendapat dana dari bahagian Ko Kurikulum. Seperti kata Tok (pencetus idea projek ini), sekurang kurangnya pihak sekolah sudah buka mata pada usaha saya.

Projek Master 4

FYP (Final Year Project)- Snow White and the Seven Dwarfs

Walaupun saya bagi tahu jiran sebelah meja di bilik guru, cukup-cukuplah saya berdrama tahun ini, tetapi semangat berpentas terlalu menggila. Juga pujukan dari anak yang terlibat dengan DIE! Project, maka terhasillah FYP. Didanai bahagian Ko Kurikulum (RM 30 ringgit sahaja ya) dan mendapat pertolongan salah seorang pembantu makmal sekolah saya. Terima kasih abang Zaidie. Sambutan saya kira cukup hangat dan di luar dari kebiasaan kerana saya memilih untuk mementaskannya di wakaf yang terletak antara blok kelas. Penonton duduk di depan pentas, 'menebeng' di luar kaki lima kelas dan menjenguk dari tingkap. Memang itu imej yang tergambar di minda saya ketika memilih tempat itu.


Projek Master 5
Modul untuk proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) tahun depan. Saya menganggarkan tahun depan saya akan lebih sibuk. Keluar waktu P&P atas tugas rasmi (taklimat/ kursus/ mesyuarat) adalah perkara biasa. Tidak masuk lagi cuti rehat khas (CRK) dan cuti sakit (MC). Prinsip saya, saya tidak akan tinggalkan anak-anak tanpa tugas, walaupun cuma untuk menyalin nota atau contoh karangan. Bunyinya macam zalim, tapi saya dibayar gaji untuk mengajar mereka. Saya tidak mahu anak anak mengalami apa yang saya alami ketika bersekolah dahulu. Sangat memeritkan bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam.
Juga modul saya sudah dikongsi dengan dua orang guru dari sekolah lain. Modul saya sememangnya tidak lengkap, tidak sempurna. Tetapi saya harap ia dapat membantu mereka.

Projek Master 6
Jualan buku di koperasi

Saya belajar untuk jadi bos. Cikgu senior sibuk menelefon saya sepanjang dua minggu lalu berkenaan dengan hal ini. Sejujurnya saya agak tertekan sebab saya masih baru (kira-kira 3 tahun), tetapi saya perlu menguruskan hal ini. Tetapi saya tidak boleh menyalahkan mereka kerana mereka sedang 'berperang' untuk menghantar markah kertas peperiksaan awam yang mereka tanda. Ini mungkin latihan untuk diri sendiri andai satu hari nanti mereka berpindah sekolah. Saya juga yang kena bukan?

Ini entri balas dendam, mungkin. Sebab panjang.

Tetapi projek master saya yang utama, yang telah ditulis untuk saya adalah untuk berbakti kepada Ayah dan abang saya. Sebelum saya menjadi seorang pelajar, sebelum saya menjadi seorang guru, saya adalah hamba kepadaNya, anak kepada seorang ayah dan adik kepada seorang abang.

Family first. Tak gitu?

No comments: