Monday, June 18, 2012

GASAK- Lebih baik mati dengan prinsip daripada hidup macam pondan (sesi photoshoot)

Assalamualaikum. Hai semua, saya Arshad. hari ni saya ambil alih blog acik Ain. sekarang ni dia sibuk (malas). Sementara ummi saya ajar budak silat, saya tolong kemaskinikan blog acik Ain yang dah bersawang ni.
Saya anak pendekarlah. Awak ingat saya takut?

 Tengok tu, acik Zaidie saya tengah ajar abang-abang saya cara-cara mengemaskan langkah.

 Inila acik Ain. Ehem, dialah salah seorang penulis buku Gasak. Asyik duduk tepi aje acik Ain ni, nanti Arshad report kat acik Zaidie suruh dia ulang balik berlatih buah pukul.

Ini pula abang-abang silat dan acik Zaidie tengah dok promo buku acik Ain. (sebenarnya mereka semua tu kena paksa dengan acik Ain)

Dah, Arshad penat nak bercerita. Arshad pun nak baca juga buku Gasak ni!

Friday, June 08, 2012

Trivia Bulan Lima

Sebulan saya berusaha mencuba untuk bertemu dengannya. Saya beri masa sebulan kepada diri saya untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sebulan. Payah.

Saya cuma dapat saya hubungi, cuma pembantu peribadinya. Saya hampir yakin, pembantu peribadinya sudah muak dengan panggilan telefon dari saya. Sebenarnya, saya ada nombor telefon tuan empunya badan, tetapi saya enggan menghubunginya melalui telefon. Entah kenapa, saya merasakan, selagi saya masih boleh menggunakan saluran formal, saya akan menggunakannya.

Ada cadangan dari rakan-rakan untuk bertemu dengannya di rumahnya. Malah, ada yang sanggup membawa saya ke sana. Tetapi sekali lagi saya tidak tergerak untuk bersetuju. Saluran formal seboleh mungkin.

Entah bagaimana, tuan empunya badan sendiri yang menemui saya. Masalah selesai. 'Kes' tutup. Tetapi rekod saya sudah buruk.

notakeyboard: Betul-betul genap sebulan masalah saya selesai. Syukur.

Saturday, June 02, 2012

Kerana Pulut Santan Binasa


Ini cerita saya. Kisah saya. Isu saya sejak bulan lepas. Kesinambungan dari entri ini.

Siapa pembawa cerita, saya tidak tahu. Mungkin lebih elok sekiranya saya tidak tahu. Seperti kata mentor saya, lebih baik tidak tahu kerana ini peluang untuk saya mengutip pahala sebanyak banyaknya. Tetapi tidak dapat tidak, pasti terlintas di hati dan minda saya untuk mencari.

Siapa penyebar cerita, oh, ia pastinya angkara mulut tempayan yang tidak dapat ditutup dek air di dalamnya hangat menggelegak.

Saya berfikir berkali-kali, berhari-hari perlu atau tidak saya menulis entri ini. Kerana banyak aib akan terbuka (ini berkait rapat dengan entri ini). Tetapi hari ini saya rasa terpanggil untuk bercerita, kerana saya tahu, ada orang di luar sana yang menyalahkan saya. Anda mendengar cerita dari satu sudut, ini cerita sudut saya.

Ianya bermula dari sekeping gambar rumah tangga, secara kebetulan saya berada hampir dengan bingkainya. Silap saya, berdiri terlalu hampir dengan bingkainya sehingga saya terjerumus masuk ke dalam gambar tersebut. Saya bukan siapa-siapa di dalam gambar itu.

Kalau diikut hati, mati. Kalau diikut rasa, binasa. Kalau diikut rasa sakit hati, mahu saja saya dedahkan semua bukti, tetapi banyak aib yang akan terbuka. Ibarat menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri juga.

Lelaki.

Perempuan.

Lelaki dan perempuan yang sudah berumahtangga. Sudah berkahwin. Ini pesan saya.

Hal rumah tangga, cuba selesaikan di rumah walau seteruk mana sekalipun. Ramai orang yang berada di tepi bingkai gambar keluarga anda. Ada yang berdiri, duduk, melompat, menjeling, melintas lalu, cuba lompat terjun ke dalam gambar, yang meneropong, yang tidak ambil pusing. Bermacam-macam perangai dan kerenah. Tetapi ingat.

Lelaki.

Perempuan.

Lelaki dan perempuan yang sudah berumahtangga. Sudah berkahwin.

Jangan mudah menunding jari ke arah mereka yang berdiri di tepi bingkai gambar cerita keluarga anda. Ada yang berada dekat dengan tepi bingkai cerita hidup anda secara kebetulan.

Kalau diikut amarah, pelbagai carut nista akan saya lontarkan.
***
Rukun Iman ada enam. Kesemuanya bermula dengan perkataan yang sama- percaya.
***
Lagu Fynn Jamal, Biar Jiwa terangkap ayat ini,
Tak mampukah kau percaya
Haruskah ku hebahkannya pada dengki dunia
Diksi yang hebat- dengki dunia.

Dalam sekeping gambar keluarga anda yang nampak sempurna berbingkai cantik, ada yang berdiri dekat itu dengki dengan kesempurnaan gambar tersebut.

Notakeyboard: Rujuk surat cinta kedua, ayat ke 191