Pagi ini. Dia bangun dengan figur umurnya bertambah sehari, atau sebetulnya setahun. Nasib baik hari ini semua sekolah mewartakan cuti peristiwa sempena Deepavali pada hari esok. Kalau tidak, pasti dia akan bangun seperti biasa dan bersiap ke sekolah.
*
Dia, Pengetua saya.
*
Semalam majlis persaraannya.
*
34 tahun berkhidmat dalam dunia pendidikan, bukan satu jangkamasa yang pendek. Pelbagai dugaan yang ditempuhi. Yang paling diingati pastinya, hal yang berkaitan dengan laporan polis. Hal itu menjadi iktibar kepadanya, dan juga aku. Ya, aku. Kerana saiz aku seperti budak sekolah, maka ramai cikgu-cikgu senior yang meningatkan aku supaya berjaga-jaga apabila memakai baju t ke sekolah. Mujur, aku cuma mengajar PJK selama 2 bulan sahaja.
Menjadi Pengetua bukan kerja mudah. Mulutnya bising sentiasa, lumrah bagi wanita aku rasa. Tapi dalam bising-bisingnya, banyak ilmu yang dia turunkan secara tak langsung. Aku percaya ramai yang arif bahawa dia antara Pengetua wanita yang paling garang di daerahku.
Tapi satu perkara yang aku pasti aku akan rindui adalah pujiannya pada cara aku berpakaian. Bahkan dia pernah bertanya sama ada baju-bajuku dibeli di butik di Kuala Lumpur. Jawabku ringkas sahaja, asal cantik, murah pun tak apa. Pasar malam pun okay juga.
Dia juga tak lokek menurunkan ilmu kesihatan. Contohnya, program detok yang dikenalkan kepada kami secara tak langsung ketika makan di kantin. Sebiji epal hijau, sebiji tomato dan sebiji oren dikisar bersama menjadi jus. Begitu juga air teh bunga yang bagus untuk menyejukkan badan.
Pernah juga dia cuba menjadi telangkai, merapatkan aku dengan seorang guru bujang di sekolahku. Tapi dari awal aku sudah tahu, cikgu itu sudah berpunya maka perkara ini di diamkan sahaja. Patutlah tiba-tiba sahaja banyak aktiviti dan tugas di sekolah pada tahun lepas, aku digandingkan dengan cikgu tersebut. Juga baju uniform bombaku yang ditaja olehnya, juga bersama cikgu tersebut. Haish, macam-macam.
Mustahil kalau aku katakan aku tak pernah mengumpat atau sakit hati dengan sikapnya. Itu lumrah. Tapi aku bersyukur sekali lagi mempunyai ketua sepertinya. Kalau tak kerana dia, mungkin sekarang aku dalam proses saman menyaman dengan bapa seorang pelajar.
Atas segala tunjuk ajar, nasihat, herdik dan perli (ha ha) darinya, aku menjadi lebih kuat sekarang.
Terima kasih Ms Lee Geok Eng!
No comments:
Post a Comment