Monday, November 29, 2010

Segitiga kehidupan

Segitiga sama kaki bermaksud, jumlah keseluruhan sudut dalam segitiga itu dalah 180 darjah.
*
Segitiga dalam persamaan kimia bermaksud, larutan tersebut dipanaskan.
*
Segitiga dalam nota Sejarah Dunia saya ketika di Tingkatan Empat bermaksud, perubahan.
*
Tetapi ini tidak bermaksud saya penggemar coklat segitiga Toblerone.
*
Buat kali ketiga juga, saya terjebak dalam sebuah segitiga yang mana seharusnya adalah dua garisan lurus yang selari. Yang seharusnya selari sampai habis. Sejujurnya, segitiga yang ketiga ini adalah segitiga yang terbaik pernah saya alami.
*
Hidup juga memerlukan kita untuk memilih. Bagaimana sekiranya saya memilih untuk tidak meninggalkan segitiga yang ketiga ini?
*
Tetapi saya harus akur bahawa saya tidak boleh mementingkan diri sendiri. Cuma cepat atau lambat sahaja masanya, lambat laun, pasti saya akan ditinggalkan (atau meninggalkan?) segitiga itu. Saya tidak pernah memilih untuk menjadi sisi ketiga dalam mana-mana segitiga itu. Tidak pernah sama sekali.
*
Tetapi untuk membayangkan saya menjadi dua garisan yang selari adalah sesuatu yang amat jauh dari fikiran saya. Mustahil kalau saya katakan perkara tersebut tidak pernah terlintas difikiran. Tetapi yang selalu tergambar difikiran saya adalah, saya bersama garisan-garisan kecil dibawah saya, tanpa garisan selari disebelah saya.
*
Kadangkala saya benci diri saya sendiri. Kenapa mesti saya?
*
Dan bila ada satu garisan lurus yang datang menghampiri, saya akan cuba sedaya upaya untuk mematahkannya. Saya sengaja dan kadangkala tidak sengaja. Saya kunci diri saya dalam syurga segitiga yang saya cipta sendiri.
*
Pernah juga saya terfikir, berapa banyak segitiga lagi yang saya akan cipta dari dua garisan lurus - yang seharusnya lurus sampai habis? Dan berapa banyak lagi satu garisan lurus yang akan saya patahkan (atau tidak sengaja patahkan)?
*
Dalam hidup, kita dibentangkan dengan pilihan. Saya pernah terfikir untuk menjalani hidup ini sebagai satu garisan lurus sahaja. Diatas saya, ada dua garisan lurus yang perlu saya tanggung sehingga ke hujungnya. Itu tugas saya.
*
Saya mengharapkan agar segitiga terakhir ini adalah yang terakhir dalam hidup saya. Saya penat, walaupun saya sangat menghargai setiap detik di dalam syurga segitiga itu. Sehingga saat ini, saya masih belum berhajat untuk meninggalkan segitiga terakhir, tetapi mungkin segitiga itu yang akan meninggalkan saya. Saya tidak akan meninggalkannya hanya kerana ada satu garisan lurus yang cuba menghampiri. Sebab saya tahu, kebarangkalian untuk saya cuba mematahkan garisan lurus itu adalah tinggi.
*
Segitiga dalam nota Sejarah Dunia saya ketika di Tingkatan Empat, bermaksud perubahan.
*
Satu hari nanti, segitiga itu akan hadir dalam hidup saya.

No comments: