Sunday, August 28, 2011

Sepasang Kurung Biru

Satu satunya lagu raya kegemaran saya. Bila difikir-fikirkan semula, baju kurung terakhir yang saya jahit untuk arwah emak berwarna biru. Sebetulnya, baju itu tidak pernah siap. Tersadai dalam bakul. Tinggal menebuk leher, menyiapkan kemasan leher, mengelim hujung lengan dan badan, dan menjahit cangkuk pada kain. Baju itu tidak siap kerana saya sudah mula sibuk menjalani latihan praktikal.

Sejujurnya, itulah baju terakhir yang saya jahit. Sejak emak pergi, saya tiada hati ingin menjahit baju kurung lengkap. Sekadar menjahit kain yang koyak, menampal seluar Ayah, memotong jubah yang labuh dan menjahit manik.

Tapi setiap kali raya, lagu itu juga yang saya dengar. Tak mengapalah, saya selesa hidup begitu.

Harapnya raya kali ini ada yang baik untuk kami sekeluarga.
ay yusof, pak yusof, bulat, ms tepung, incik kacang senyum, apam balik kacang dan anak kelinci

Salam Aidilfitri 1432H.

No comments: