Sunday, September 26, 2010

Hati Seorang Anak

Down Syndrome.
*
Itu yang tertulis pada kad rawatan Incik Bulat. Tiba- tiba saya terasa hati. Sebetulnya bukan Down Syndrome, tetapi hypothyroidism. Kalau tak pasti apa dia, boleh cari maklumat di Internet.
*
Sejak kecil saya mudah terasa hati, bila Mak dan Ayah melebihkan Incik Bulat. Ketika itu, saya masih tak berapa mengerti. Tapi lama kelamaan, saya boleh menerimanya. Kerana Incik Bulat, saya menjadi lebih tegas (garang), walaupun saya sebenarnya gembeng. Saya mula faham erti tanggungjawab ketika dalam Darjah 4. Mungkin pada orang lain, itu perkara biasa, tapi tidak saya. Saya. Anak terakhir. Seharusnya, saya yang paling dimanjakan. Itu fahaman saya pada ketika itu.
*
Kepada ibu bapa di luar sana, sekiranya anda ada anak istimewa, cuba beri pemahaman yang lebih kepada anak- anak lain. Setiap anak adalah individu yang berbeza. Oleh itu pemahaman dan penerimaan mereka juga berbeza. Adalah perkara normal untuk anak memberontak sesekali. Saya juga begitu. Kadang kala saya rasa tertekan.
*
Jangan terlalu menuntut pemahaman dari anak- anak lain. Sekarang ini pelbagai buku boleh didapati di pasaran, bermacam artikel di Internet, merata seminar boleh dihadiri. Cuma cari, pilih dan baca/ hadir. Jangan sampai anak berubah tingkah baru nak mencari penyelesaian.
*
Tapi janganlah sampai menyesal mendapat anak istimewa begini. Setiap anak ada rezekinya, sudah tertulis sejak azali lagi. Seperti kata pengapit Encik Abang Ipar, "awak bertuah sebab dapat menjaga ahli syurga". Sungguh saya terpana, membuat saya menilai kembali sikap saya pada Incik Bulat.
*
Ada lagi rasa hati yang ingin saya kongsikan, tetapi sesetengah perkara lebih baik didiamkan sahaja. Apatah lagi kalau ia cuma membuka pekung di dada.
*
Jangan sesekali mudah menyerah sekiranya mendapat anugerah istimewa ini. Kadang kala, anak istimewa ini lebih menyejukkan hati berbanding anak normal.
*
[Foto di ambil dari Google Images]

No comments: