*
Ok, sekarang semua dalam mood Raya. Saya? Tak berapa pasti. Persiapan sudah dibuat secara ala kadar, untuk keluarga. Sudah 4 hari berturut- turut mengemas rumah sampai sakit pinggang. Sudah tu, digelakkan doktor pula!
*
Mari masuk topik asal.
*
Sebenarnya saya tak berapa ingat kenangan Raya masa kecil- kecil. Sebabnya, saban tahun saya akan beraya di rumah Atuk sebelah Ayah. Saya tak pernah kenal Atuk dan Nenek saya dari sebelah arwah Mak (mereka meninggal ketika Mak dalam darjah 2 dan ketika Mak bertunang dengan Ayah).
*
Tapi ada beberapa serpihan kenangan Raya yang sempat tersimpan dalam memori saya.
*
Serpihan Memori 1
Arwah Nenek memberikan sepiring dodol kepada saya dan Incik Bulat. Jangan tanya ms tepung di mana ketika itu. Mungkin dia sedang bermain dengan sepupu yang lain. Bila arwah Nenek jenguk kami semula, piring dodol itu sudah licin! Mengucap panjang Nenek, sebab sebenarnya dodol itu untuk dirasa dengan semua, tapi habis kami 'bedal'. Ha ha. Nasib baiklah kami kecil lagi masa tu. Muka pun tak bersalah.
*
Serpihan Memori 2
Zaman dulu, kalau tak main bunga api memang tak seronok. Nak beli pun mudah. Ada satu jenis bunga api yang saya main, pemegangnya diperbuat dari kertas (rasanya). Bunga api ini boleh dipatah- patahkan. Salah seorang dari sepupu saya ajar, patahkan bunga api itu (kira- kira dalam seinci). Kemudian cucuhkan pada api, dan bunga api itu akan melompat- lompat!
*
Saya pun mencubanya, wow, seronok betul. Dengan tak semena- mena, bunga api itu melompat dan terkena Mak. Berlubang baju kurung Kedah yang Mak pakai. Sampai Mak meninggal saya tak pernah beritahu bahawa yang buat tu saya. Isk...
*
Memori yang lain rasanya tak banyak beza dengan orang lain. Bermain dengan sepupu, makan kuih raya di rumah Atuk sendiri (dan kena isi semula sendiri). Tapi satu perkara yang saya paling ingat, tidak kira apa yang saya buat, pasti saya akan dipanggil oleh Mak untuk menterjemahkan apa yang Incik Bulat katakan (Incik Bulat pelat sehingga sekarang kerana lidahnya pendek).
*
Ketika itu memang saya rasa terganggu. Ya lah, kanak- kanak lagi. Mood bermain pun tengah naik, kena kacau pula. Bila diingat semula, baru saya perasan bahawa kemahiran berbahasa saya telah diasah sejak kecil lagi.
*
Oh, rasanya cukuplah cerita kenangan Raya saya masa kecik dahulu. Saya harus masuk tidur sebab esok saya akan menjadi pemadu yang berhemah di jalan raya (ha ha). Inilah kali pertama saya akan beraya di rumah Atuk selepas tiga tahun beraya di rumah sendiri.
*
Selamat Hari Raya semua!
*
No comments:
Post a Comment