Thursday, September 30, 2010

Budak Botak

(entri ini tiada kait mengait dengan entri Uncle Botak oleh Tok R)
*
Minggu ini aku masuk kelas yang satu itu. Rasanya aura aku sudah sampai pada mereka. Aku berdiri di pintu belakang je, semua bercempera duduk. Dan kemudian, akan ada seseorang bangun mengambil penyapu dan mula menyapu. Hampeh betul.
*
Tapi yang aku nak cerita ialah mengenai seoang pelajar yang tiba- tiba bersongkok ke kelas. Memang tak pernah dia buat. Rupa- rupanya rambutnya sudah ditebas habis. Ala rambut Mawi.
*
Memandangkan aku sangat suka membuli murid (terutamanya jika mereka buat lawak tak kena tempat), maka murid itu aku buli. Buli yang paling mudah, rembat songkoknya (jangan cuba buat di sekolah yang pengetuanya tak backing cikgu). Budak- budak ni, kalau tak ada hal- hal kecemasan, mana nak pakai songkok.
*
Masa itu lah, baru kami dapat melihat kepalanya. Tapi dia buat tak kisah aja (walaupun sebenarnya bukan main susah aku nak rembat songkok tu). Maka pelajaran diteruskan.
*
Sebelum aku pulangkan songkoknya, aku lihat kepalanya. Ada dua kawasan kecil di mana rambut tak tumbuh. Aku bertanya, apa yang terjadi.
*
"Kena pisau cikgu"
Aku cuak.
"Macam mana boleh kena pisau?"
"Mak baling dengan pisau"
Sudah, mak dia ni ada masalah mental ke?
"Kenapa Mak awak baling dengan pisau?"
"Sebab saya tak balik rumah sehari semalam. Masa tu saya Darjah Enam"
*
Mengucap panjang aku dalam hati. Sebenarnya, ini bukan kali pertama aku mendengar kes dibaling pisau oleh pelajar sekolahku. Ada yang suka- suka bermain baling- baling pisau dengan adik beradik. Bertumbuk adik beradik (hatta lelaki perempuan) perkara biasa.
*
Tapi itu cerita di rumah. Apa dayaku?
*
notablog: aku pesan pada budak tu, jangan buat fesyen rambut begitu lagi. Walaupun aku selalu cakap dengan mereka lelaki botak itu seksi. Ahaks~
*

p/s: aimisyu

Anda tahu anda sudah kronik apabila anda boleh tersenyum (tersengih) sendirian sambil menulis nota di papan hitam. Padahal, baru beberapa ketika tadi anda marah pelajar yang tak henti- henti bercakap macam tongkeng ayam yang tak sudah- sudah bergerak.
*
Sah! Anda sudah sangau. (Sangau = Sasau + Angau)
[Kredit 'sangau' untuk AdlanRamly]
*
Er,jangan hantar saya ke Hospital Permai ya. Saya inesen. *wink*wink*

Tuesday, September 28, 2010

Penunggu

Ada orang bela penunggu. Untuk pebagai tujuan. Aku. Tak bela penunggu. Tapi. Ada penunggu.
*
Penunggu 1
*
*
*
*
*
Penunggu dalam kereta. Harimau pula tu.
*
Penunggu 2
*
*
*
*
*
El tigre, juga harimau. Setia menunggu aku pulang ke rumah.
*
Penunggu 3
*
*
*
*
*

Yang ni bukan menunggu aku, tapi aku yang tunggu dia. Waa~~~ rindu Apam!

"Cikde, jom jalan- jalan. Apam bawa naik kereta Hondaaa... Yeeee~~~"

Sunday, September 26, 2010

Hati Seorang Anak

Down Syndrome.
*
Itu yang tertulis pada kad rawatan Incik Bulat. Tiba- tiba saya terasa hati. Sebetulnya bukan Down Syndrome, tetapi hypothyroidism. Kalau tak pasti apa dia, boleh cari maklumat di Internet.
*
Sejak kecil saya mudah terasa hati, bila Mak dan Ayah melebihkan Incik Bulat. Ketika itu, saya masih tak berapa mengerti. Tapi lama kelamaan, saya boleh menerimanya. Kerana Incik Bulat, saya menjadi lebih tegas (garang), walaupun saya sebenarnya gembeng. Saya mula faham erti tanggungjawab ketika dalam Darjah 4. Mungkin pada orang lain, itu perkara biasa, tapi tidak saya. Saya. Anak terakhir. Seharusnya, saya yang paling dimanjakan. Itu fahaman saya pada ketika itu.
*
Kepada ibu bapa di luar sana, sekiranya anda ada anak istimewa, cuba beri pemahaman yang lebih kepada anak- anak lain. Setiap anak adalah individu yang berbeza. Oleh itu pemahaman dan penerimaan mereka juga berbeza. Adalah perkara normal untuk anak memberontak sesekali. Saya juga begitu. Kadang kala saya rasa tertekan.
*
Jangan terlalu menuntut pemahaman dari anak- anak lain. Sekarang ini pelbagai buku boleh didapati di pasaran, bermacam artikel di Internet, merata seminar boleh dihadiri. Cuma cari, pilih dan baca/ hadir. Jangan sampai anak berubah tingkah baru nak mencari penyelesaian.
*
Tapi janganlah sampai menyesal mendapat anak istimewa begini. Setiap anak ada rezekinya, sudah tertulis sejak azali lagi. Seperti kata pengapit Encik Abang Ipar, "awak bertuah sebab dapat menjaga ahli syurga". Sungguh saya terpana, membuat saya menilai kembali sikap saya pada Incik Bulat.
*
Ada lagi rasa hati yang ingin saya kongsikan, tetapi sesetengah perkara lebih baik didiamkan sahaja. Apatah lagi kalau ia cuma membuka pekung di dada.
*
Jangan sesekali mudah menyerah sekiranya mendapat anugerah istimewa ini. Kadang kala, anak istimewa ini lebih menyejukkan hati berbanding anak normal.
*
[Foto di ambil dari Google Images]

Friday, September 24, 2010

Gali

Saya rindu.
*
Tapi saya tahu, saya tak layak rindu pada dia.
*
Baik saya simpan saja perasaan ini dalam- dalam.
*
Mungkin juga saya patut panggil penggali kubur, untuk gali lubang dalam- dalam dan kuburkan rindu saya.
*
Sedalam mana rindu saya, maka sedalam itulah kuburnya. Biar ia tak bernisan.
*
Dan seharusnya saya pulangkan rindu itu pada Penciptanya.
*
[Foto di ambil dari Google Images]

Saturday, September 18, 2010

Temenggong

Ketika di Maktab dahulu, aku belajar subjek Falsafah Pendidikan. Jangan tanya aku lagi apa isi kandungan subjek tersebut, sebab aku tak suka subjek yang dry macam ni (baca: bila peperiksaan soalannya objektif, aku tak suka).
*
Pensyarah bagi subjek tersebut adalah seorang lelaki Cina yang sangat comel (pada mataku). Bertubuh redang, berkaca mata, fasih berbahasa Melayu kerana dia bekas guru Bahasa Melayu. Setiap kali dia membaca, kertas yang dipegang akan didekatkan ke matanya. Kadang kala aku tertawa dalam hati, kalau macam itu gayanya, buat apa pakai cermin mata. Ha ha.
*
Memandangkan subjek tersebut agak membosankan, pada suatu hari dia membicangkan perihal adat Temenggong. Memang sesuailah bagi kami yang majoritinya anak Johor.
*
Pensyarah: Kita orang Temenggong, kena ikut adat Temenggong. Apa dia adat Temenggong?
Kami: Adat Temenggong, berani buat berani tanggung.
Penyarah: Ha, betuuuul tu. Berani buattt...
Kami: Berani tanggunggg!
Pensyarah: Berani buatttt...
Kami: Berani tanggunggg!!!
Pensyarah: Salah tu. Berani buat, berani tanggung. Berani buat, berani mengandung!
Kami: Cisss!!!
*
Mr. Kam, anda memang best! Ha ha.
*
Ingatkah kau lagi wahai kawan?

Kerana Aku Seorang Cikgu- Situasi 2

Tiba- tiba aku rasa dapat idea untuk kembangkan Situasi 2 dari entri sebelum ini.
*
Situasi ini separa benar. Benar kerana watak- wataknya aku separa kenal. Tetapi situasinya aku tak pasti terjadi atau tidak sebab aku tidak menghadirkan diri.
*
Kawanku Puan Faiz, berkahwin dengan seorang cikgu. Secara logiknya, maka ramai tetamu yang datang adalah kawan- kawan pengantin. Kawan- kawan pengantin ketika belajar dan di tempat kerja. Logik mudah, tak perlu penakkulan mantik. Ramai cikgu yang datang.
*
Emak dan Abah kawanku adalah cikgu. Pasti mereka juga menjemput kawan- kawan mereka ke majlis perkahwinan anak sulung mereka. Kawan- kawan mereka juga kebanyakkannya cikgu.
*
Daripada 6 adik beradik Emak kawanku ini, 4 darinya adalah cikgu. Cikgu Tadika, cikgu sekolah rendah, cikgu sekolah menengah dan juga cikgu sekolah agama Kerajaan Johor.
*
Juga, adik beradik Abahnya yang tak semuanya menjadi cikgu. Tapi dengan jayanya berkahwin dengan cikgu.
*
Keluarga Emak + Keluarga Abah = Keluarga Cikgu- Cikgu
*
Maka, jika jurugambar kawan ku ini memberi arahan kepada tetamu yang ingin bergambar dengan pasangan pengantin dengan menyebut ayat...
*
"Cikgu- cikgu sekalian boleh ambil gambar dengan pengantin."
*
Bolehkah kau bayangkan hampir kesemua hadirin akan membuat pergerakan kepala semacam boria atau dikir barat secara serentak ke arah jurugambar berkenaan...
*
*
*
*
*
Lagi- lagi pula kalau tahap desibel suara jurugambar itu, pitchingnya macam cikgu disiplin...
Ini kalau satu sekolah yang datang. Kalau 4, 5 buah sekolah?
*
*
*
Kerja sekolah: Kira bilangan perkataan cikgu dalam entri ini. Dah siap nanti email kan entri ini pada kawan- kawan kau yang bukan cikgu tetapi suka panggil kawan- kawannya yang cikgu dengan gelaran cikgu. Macam tak ada identiti diri.
*

Friday, September 17, 2010

Kerana Aku Seorang Cikgu

Aku tak suka orang panggil aku cikgu. Titik.
*
Tapi ini tak tertakluk pada murid- murid aku, pada ibu bapa murid- murid aku.
*
Aku rasa macam satu penghinaan, seolah- oleh aku tak ada identiti sendiri. Terutamanya kalau yang panggil aku tu orang yang kenal aku sebelum aku menjadi cikgu. Apa, aku tak ada nama ke?
*
Situasi- situasi yang buat aku menyirap darah bila panggil aku cikgu.
*
Situasi 1
Dapat SMS, Facebook Chat atau yang sewaktu dengannya bermula dengan...
"Hai cikgu, lama tak dengar cerita?"
>>> Bila masa pula kau jadi anak murid aku?
*
Situasi 2
Majlis kahwin antara cikgu dengan cikgu. Jurugambar pun kata...
"Cikgu- cikgu sekalian boleh ambil gambar dengan pengantin."
>>> Kenapa tak panggil kawan- kawan pengantin? Kalau ada bekas cikgu pada pengantin kan dia tertoleh sama?
*
Situasi 3
Dapat panggilan telefon dari nombor yang tak dikenali. Pemanggil memberi salam dan memulakan bicara dengan...
"Boleh bercakap dengan Cikgu ...?"
>>> Berderau darah aku. Selalunya yang buat macam ni cuma ibu bapa pelajar ja. Kenapa kawan- kawan sendiri mesti panggil kawan dia cikgu?
*
Cikgu sebenarnya bukan kata ganti nama.
Kalau seorang cikgu dipanggil dengan gelaran Cikgu oleh kawannya (yang bukan cikgu).
Kalau seorang doktor dipanggil Tuan Doktor oleh kawannya (yang bukan doktor).
Kalau seorang jurutera (mungkin) dipanggil Ingénieur (IR) oleh kawannya (yang bukan jurutera).
Maka,
jika dia adalah seorang pekerja kilang, mahu dipanggil apa?
Seorang kerani
Seorang ahli perniagaan
Seorang pemandu lori
Seorang pramugara
Seorang suri rumah sepenuh masa
Apa kata panggilan yang sesuai?
*
Bukan aku tak suka tugas aku. Tapi aku ada identiti sendiri. Aku adalah aku. Aku ada kehidupan sendiri di luar tugas aku sebagai seorang guru.
*
Ini aku. Ada cikgu lain yang tak kisah, tapi bukan aku. Aku kisah. Sebab aku bangga dengan nama yang Mak Ayah aku beri. Aku bangga dengan identiti aku sebagai anak Pak Yusof.
*
Aku suka nama aku. Titik.
*

Raya Oh Raya (Versi Lengkap)

*
Pra Raya
Pecahan 1
Keluarga aku bukan keluarga pertama yang tiba. Sampai di rumah Atuk, rehat sebentar (tidur). Dah tidur nak buat apa? Aku bongkar beg Ayah dan aku. Keluarkan baju raya dan gosok. Mmm, mungkin ini kelebihan atau kekurangan aku. Aku suka menggosok baju. Dan kiwi kasut. Ok, benda pelik.
*
Pecahan 2
Pak Andak masuk surat khabar. Kecoh tapi semua gembira. Reaksi Pak Andak? Aku rasa biasa ja. Pak Andak memang tenang- tenang ja orangnya.
*
Hari Raya
Pecahan 3
Raya pertama semua adik beradik Ayah balik. Kecuali seorang. Maklumlah, dalam ramai- ramai cuma tiga orang sahaja yang duduk luar kawasan. Yang lain- lain masih dikategorikan dalam lingkungan dekat. Dan yang paling dekat pastinya keluarga Andak.
*
Aku paling lambat bersiap. Orang terakhir sebenarnya. Perasaan untuk beraya juga tidak ada sebenarnya. Hari Raya menjadi semakin tidak bermakna pada aku. Tak tahu kenapa. Dalam keluarga aku juga sebenarnya tidak ada acara khusus untuk beratur, bersalaman dan minta maaf. Aku pelik sendiri tapi tak bersuara.
*
Pecahan 4
Sepanjang berada di rumah Atuk, aku tak ke mana. Keadaan kesihatan Ayah dan Incik Bulat tidak memungkin untuk aku merayau- rayau sendiri ke rumah saudara. Lagi pun aku sebenarnya bukan jenis yang banyak cakap. Takut nanti aku layan TV lebih dari layan tuan rumah.
*
Pecahan 5
Masing- misang sibuk bergambar di pagi raya. Aku? Tukang ambil gambar. Sudahnya gambar aku cuma beberapa keping. Itu pun selepas aku ditarik oleh isteri sepupuku untuk bergambar. Dan gambar aku dalam kamera sepupuku.
*
Cerita lain raya? Tunggu sekolah buka. Atau pun mungkin tiada.
*

Tuesday, September 07, 2010

Raya Dulu- Dulu

*
Ok, sekarang semua dalam mood Raya. Saya? Tak berapa pasti. Persiapan sudah dibuat secara ala kadar, untuk keluarga. Sudah 4 hari berturut- turut mengemas rumah sampai sakit pinggang. Sudah tu, digelakkan doktor pula!
*
Mari masuk topik asal.
*
Sebenarnya saya tak berapa ingat kenangan Raya masa kecil- kecil. Sebabnya, saban tahun saya akan beraya di rumah Atuk sebelah Ayah. Saya tak pernah kenal Atuk dan Nenek saya dari sebelah arwah Mak (mereka meninggal ketika Mak dalam darjah 2 dan ketika Mak bertunang dengan Ayah).
*
Tapi ada beberapa serpihan kenangan Raya yang sempat tersimpan dalam memori saya.
*
Serpihan Memori 1
Arwah Nenek memberikan sepiring dodol kepada saya dan Incik Bulat. Jangan tanya ms tepung di mana ketika itu. Mungkin dia sedang bermain dengan sepupu yang lain. Bila arwah Nenek jenguk kami semula, piring dodol itu sudah licin! Mengucap panjang Nenek, sebab sebenarnya dodol itu untuk dirasa dengan semua, tapi habis kami 'bedal'. Ha ha. Nasib baiklah kami kecil lagi masa tu. Muka pun tak bersalah.
*
Serpihan Memori 2
Zaman dulu, kalau tak main bunga api memang tak seronok. Nak beli pun mudah. Ada satu jenis bunga api yang saya main, pemegangnya diperbuat dari kertas (rasanya). Bunga api ini boleh dipatah- patahkan. Salah seorang dari sepupu saya ajar, patahkan bunga api itu (kira- kira dalam seinci). Kemudian cucuhkan pada api, dan bunga api itu akan melompat- lompat!
*
Saya pun mencubanya, wow, seronok betul. Dengan tak semena- mena, bunga api itu melompat dan terkena Mak. Berlubang baju kurung Kedah yang Mak pakai. Sampai Mak meninggal saya tak pernah beritahu bahawa yang buat tu saya. Isk...
*
Memori yang lain rasanya tak banyak beza dengan orang lain. Bermain dengan sepupu, makan kuih raya di rumah Atuk sendiri (dan kena isi semula sendiri). Tapi satu perkara yang saya paling ingat, tidak kira apa yang saya buat, pasti saya akan dipanggil oleh Mak untuk menterjemahkan apa yang Incik Bulat katakan (Incik Bulat pelat sehingga sekarang kerana lidahnya pendek).
*
Ketika itu memang saya rasa terganggu. Ya lah, kanak- kanak lagi. Mood bermain pun tengah naik, kena kacau pula. Bila diingat semula, baru saya perasan bahawa kemahiran berbahasa saya telah diasah sejak kecil lagi.
*
Oh, rasanya cukuplah cerita kenangan Raya saya masa kecik dahulu. Saya harus masuk tidur sebab esok saya akan menjadi pemadu yang berhemah di jalan raya (ha ha). Inilah kali pertama saya akan beraya di rumah Atuk selepas tiga tahun beraya di rumah sendiri.
*
Selamat Hari Raya semua!
*

Wednesday, September 01, 2010

Wish List 2

*
25 Ogos lalu gaji sudah masuk. Khabarnya 1 September (hari ini) masuk lagi bonus raya. Hadiah untuk diri sendiri masih tidak ada (selain ais krim sebab selalu tertengok iklan Vianetta). Boleh buat wish list lagi tak?
*
Dulu pernah terfikir nak beli Blackberry (memandangkan Incik Abang Ipar ada iPhone). Tapi bila difikirkan semula, rasa sangat tak bebaloi dan tak logik. Kerja biasa dan gaji sederhana saja. Baik simpan duit betul- betul dan beli sesuatu yang lebih bernilai dan boleh digunapakai untuk jangkamasa yang lama. Ataupun sesuatu yang boleh dijadikan pelaburan untuk jangkamasa panjang. Sebagai contoh, rumah.
*


*
Selamat tinggal angan- angan BB dan iPhone.
*
Mungkin juga akan beli beg tangan dari Che Che. Memandangkan ms tepung sudah ada satu, saya pun nak juga. Masa ambil beg tangan Che Che Hello Kitty awal Julai lepas, saya jatuh hati pada beg tangan ini.

Walaupun sebenarnya saya lebih minat koleksi beg tangan Paris Hilton. Cari gambar Paris Army by Paris Hilton, tapi tak jumpa T_T. Tetapi (lagi) biasanya saya beli beg tangan hanya pada hujung tahun sebab ada jualan murah.
*
Nampaknya tak ada lagilah hadiah untuk diri sendiri. Masa jadi pelajar dulu, pasti ada hadiah untuk diri sendiri, sekurang- kurangnya sebuah buku. Bila mula bekerja, selalunya beli baju, baju dan baju sahaja. Nak menjahit sendiri, tak ada hati. Lepas Mak pergi, mesin jahit hanya digunakan untuk projek- projek lain, selain menjahit baju kurung sendiri.

Mungkin juga saya patut beli komputer riba yang baru. Yang diguna sekarang sudah mula menunjukkan tanda- tanda penuaan. Ha ha, macam manusia ja. Tapi memang benar, sebab sudah mula tertera 10 garisan halus di skrin. Usia komputer riba saya sekarang sudah mencapai 5 tahun. Ini mungkin hadiah termahal saya pernah berikan untuk diri sendiri, sebabnya, ia dibeli beberapa hari sebelum atau selepas hari lahir saya. Lepas beli komputer riba, saya terpaksa ikat perut. Selama ini memang menyimpan duit elaun untuk membelinya (cita- cita sangat tinggi sejak dari kali pertama dapat duit elaun dari kerajaan ketika Foundation Course).
*
Ataupun hadiah yang terbaik untuk diri sendiri adalah simpan duit dalam ASB dan senyum- senyum seorang diri melihat amaun yang tertera.
*
^_^