Wednesday, June 15, 2011

Hadiah Ulang Tahun

16 Julai ini genap 3 tahun saya berkhidmat sebagai guru di sekolah atas bukit. 3 tahun bukan satu jangkamasa yang panjang bagi yang sudah lama berkhidmat. Tetapi bagi yang masih setahun jagung seperti saya, 3 tahun itu sedikit sebanyak mendedahkan saya kepada cabaran seorang guru pada hari ini.

Macam-macam orang kata perihal tugas guru, rungutan guru. Tapi saya tak mahu cerita semua itu. Saya cuma mahu hadiah untuk diri saya sendiri selepas bertungkus lumus bekerja selama 3 tahun.

Berikut adalah antara hadiah yang saya boleh berikan untuk diri sendiri.

1. Baju- beli baju paling cantik dan paling mahal.
Verdict: Tak relevan. Baju saya sudah cukup banyak, tidak akan diulang pakai dalam jangkamasa 3 bulan setengah (tidak termasuk baju batik). Lagi pun beli baju mahal rugi, bukan boleh pakai (tayang) hari-hari.

2. Tas tangan/ kasut- oh, saya mahu tas tangan Paris Hilton yang baru!
Verdict: Tak relevan. Koleksi tas tangan saya elok lagi. Beli banyak buat kumpul habuk sahaja. Lagi pun, kalau banyak sangat nak letak di mana? Kasut, saya baru beli but baru ketika cuti Tahun Baru Cina yang lalu. Prinsip saya, beli kasut yang selesa (mahal sedikit tak apa, tetapi mesti berpatutan) dan lenjan sampai rosak.

3. Telefon bimbit- saya mahu Blackberry, ada yang cadangkan iPhone.
Verdict: Telefon saya masih berfungsi elok. Selagi boleh menerima dan menghantar SMS/ MMS, memanggil dan menjawab panggilan sudah cukup. Ambil gambar/ rakam video? Saya ada kamera digital sendiri.

4. Buku- senarai buku yang saya mahu mungkin terlalu panjang.
Verdict: menarik tetapi tidak praktikal. Saya ada setimbun buku yang belum saya khatamkan dan dua timbun buku yang saya belum mentong. Pengaruh zaman belajar, setiap buku yang saya miliki akan saya baca sekurang-kurangnya 3 kali.
Lagipun banyak buku pelajar yang saya perlu tanda.
1 pelajar= 5 buku.
1 kelas= 40 pelajar (maksimum).
5 kelas= 200 pelajar.
200 pelajar= kiralah sendiri berapa banyak buku.

5. Melancong- saya mahu ke Sabah!
Verdict: Tahun ini saya sudah ambil sehari CRK. Sehari lagi saya akan ambil pada 20 Julai ini. Bukan kerana saya ingin berehat, tetapi atas urusan keluarga. Jangan katakan mahu pergi melancong jauh-jauh, ikut rombongan sekolah atau pergi berkursus luar daerah lebih dari 3 hari pun saya sudah resah.

6. Pakwe baru- saya mahu Anuar Zen!
Verdit: Ha ha. Tak pernah masuk senarai pun acara mencari pakwe. Kecuali saya tiba-tiba gila.

7.

8.

9.

10.


Saya tak ada idea. Beri cadangan, boleh?
(Sila abaikan hadiah keenam. Tak masuk akal pun.)

No comments: