Sunday, June 19, 2011

Lelaki Paling Istimewa Dalam Hidup Saya

Kalau ada perempuan kata dia tak perlukan lelaki,
kalau ada lelaki kata dia tidak perlukan perempuan,
maka dia bodoh.

Lelaki dan perempuan diciptakan saling memerlukan satu sama lain. Melengkapi kekurangan. Merai kelebihan. Bagaikan satu bulatan yang ada missing piece nya. Seperti Ying dan Yang.

Tanpa dia, saya tak mungkin ada dan berada di tahap ini. Tak mungkin saya dapat menaip entri ini.

Terlalu banyak rasa yang terpendam dalam hati ini yang tak mungkin saya mampu luahkan. Dia istimewa dengan caranya yang tersendiri. Dia bukan yang terbaik, tetapi dia berusaha dan saya tahu dalam hatinya penuh dengan cinta kepada perempuan disekelilingnya termasuk saya.

Mungkin saya akan berjumpa orang sepertinya lagi, mungkin juga tidak. Jika ada sekalipun, tidak akan sama walaupun serupa.

Dia lelaki yang meraikan dalam diam. Yang membuat saya yakin kepada diri sendiri, yang melepaskan saya saat saya sudah boleh berdikari walau dalam hatinya masih ada sangsi. Membakar semangat saya saat saya rasa terlalu lemah dengan nasihat yang dipetik dari salah satu surat cinta yang berjumlah 114 itu. Kadangkala dia sengaja melemparkan saya ke laut lepas dan cuma memerhati dan berbisik dalam diam bahawa saya mampu.

Kerana itu, saya dedikasikan lagu ini buatnya. (Terima kasih Fynn Jamal kerana menciptakan lagu yang sangat bermakna ini)



Lelaki, sambutkan hormatku dari seluruh perempuan.

Baris yang paling bermakna buat saya. Betapa tinggi pengharapan itu.

Ketika belajar di peringkat Ijazah, sangat jarang terlintas di hati saya untuk mencari seseorang buat menemani saya di sebelah. Kenapa? Kerana saya ada dia. Sifat pelindung dan pembelai kasihnya menebal dalam hati saya membuatkan saya tidak terfikir untuk mencari yang lain. Apa perlunya yang lain jika saya ada dia?

Tetapi, jika satu hari nanti dia pergi, bagaimana agaknya saya?

Segala kasih, cinta, kekuatan dan penghormatan yang diberikan kepada saya, rasanya terima kasih itu terlalu kecil.

Buat bakal ayah dan ayah di luar sana, sayangi anak perempuanmu. Manjakan mereka lebih dari anak lelaki (dengan cara yang terkawal). Raikan mereka kerana mereka akan membesar sebagai anak yang menyayangi keluarga mereka lebih dari yang lain. Cinta mereka akan lebih kepada keluarga.

Ayah, saya bangga membawa nama Yusof sepanjang perjalanan kaki saya.

notakeyboard:
1. 114 surat cinta- surah di dalam Al-Quran
2. Tips menawan hati anak sebelum dan apabila mereka dilamun cinta- rujuk majalah Anis edisi Oktober 2010 (terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.)

No comments: