Sunday, July 01, 2012

Where My Heart Is...

One of the moments that I wish to cherish forever in my life.

Monday, June 18, 2012

GASAK- Lebih baik mati dengan prinsip daripada hidup macam pondan (sesi photoshoot)

Assalamualaikum. Hai semua, saya Arshad. hari ni saya ambil alih blog acik Ain. sekarang ni dia sibuk (malas). Sementara ummi saya ajar budak silat, saya tolong kemaskinikan blog acik Ain yang dah bersawang ni.
Saya anak pendekarlah. Awak ingat saya takut?

 Tengok tu, acik Zaidie saya tengah ajar abang-abang saya cara-cara mengemaskan langkah.

 Inila acik Ain. Ehem, dialah salah seorang penulis buku Gasak. Asyik duduk tepi aje acik Ain ni, nanti Arshad report kat acik Zaidie suruh dia ulang balik berlatih buah pukul.

Ini pula abang-abang silat dan acik Zaidie tengah dok promo buku acik Ain. (sebenarnya mereka semua tu kena paksa dengan acik Ain)

Dah, Arshad penat nak bercerita. Arshad pun nak baca juga buku Gasak ni!

Friday, June 08, 2012

Trivia Bulan Lima

Sebulan saya berusaha mencuba untuk bertemu dengannya. Saya beri masa sebulan kepada diri saya untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sebulan. Payah.

Saya cuma dapat saya hubungi, cuma pembantu peribadinya. Saya hampir yakin, pembantu peribadinya sudah muak dengan panggilan telefon dari saya. Sebenarnya, saya ada nombor telefon tuan empunya badan, tetapi saya enggan menghubunginya melalui telefon. Entah kenapa, saya merasakan, selagi saya masih boleh menggunakan saluran formal, saya akan menggunakannya.

Ada cadangan dari rakan-rakan untuk bertemu dengannya di rumahnya. Malah, ada yang sanggup membawa saya ke sana. Tetapi sekali lagi saya tidak tergerak untuk bersetuju. Saluran formal seboleh mungkin.

Entah bagaimana, tuan empunya badan sendiri yang menemui saya. Masalah selesai. 'Kes' tutup. Tetapi rekod saya sudah buruk.

notakeyboard: Betul-betul genap sebulan masalah saya selesai. Syukur.

Saturday, June 02, 2012

Kerana Pulut Santan Binasa


Ini cerita saya. Kisah saya. Isu saya sejak bulan lepas. Kesinambungan dari entri ini.

Siapa pembawa cerita, saya tidak tahu. Mungkin lebih elok sekiranya saya tidak tahu. Seperti kata mentor saya, lebih baik tidak tahu kerana ini peluang untuk saya mengutip pahala sebanyak banyaknya. Tetapi tidak dapat tidak, pasti terlintas di hati dan minda saya untuk mencari.

Siapa penyebar cerita, oh, ia pastinya angkara mulut tempayan yang tidak dapat ditutup dek air di dalamnya hangat menggelegak.

Saya berfikir berkali-kali, berhari-hari perlu atau tidak saya menulis entri ini. Kerana banyak aib akan terbuka (ini berkait rapat dengan entri ini). Tetapi hari ini saya rasa terpanggil untuk bercerita, kerana saya tahu, ada orang di luar sana yang menyalahkan saya. Anda mendengar cerita dari satu sudut, ini cerita sudut saya.

Ianya bermula dari sekeping gambar rumah tangga, secara kebetulan saya berada hampir dengan bingkainya. Silap saya, berdiri terlalu hampir dengan bingkainya sehingga saya terjerumus masuk ke dalam gambar tersebut. Saya bukan siapa-siapa di dalam gambar itu.

Kalau diikut hati, mati. Kalau diikut rasa, binasa. Kalau diikut rasa sakit hati, mahu saja saya dedahkan semua bukti, tetapi banyak aib yang akan terbuka. Ibarat menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri juga.

Lelaki.

Perempuan.

Lelaki dan perempuan yang sudah berumahtangga. Sudah berkahwin. Ini pesan saya.

Hal rumah tangga, cuba selesaikan di rumah walau seteruk mana sekalipun. Ramai orang yang berada di tepi bingkai gambar keluarga anda. Ada yang berdiri, duduk, melompat, menjeling, melintas lalu, cuba lompat terjun ke dalam gambar, yang meneropong, yang tidak ambil pusing. Bermacam-macam perangai dan kerenah. Tetapi ingat.

Lelaki.

Perempuan.

Lelaki dan perempuan yang sudah berumahtangga. Sudah berkahwin.

Jangan mudah menunding jari ke arah mereka yang berdiri di tepi bingkai gambar cerita keluarga anda. Ada yang berada dekat dengan tepi bingkai cerita hidup anda secara kebetulan.

Kalau diikut amarah, pelbagai carut nista akan saya lontarkan.
***
Rukun Iman ada enam. Kesemuanya bermula dengan perkataan yang sama- percaya.
***
Lagu Fynn Jamal, Biar Jiwa terangkap ayat ini,
Tak mampukah kau percaya
Haruskah ku hebahkannya pada dengki dunia
Diksi yang hebat- dengki dunia.

Dalam sekeping gambar keluarga anda yang nampak sempurna berbingkai cantik, ada yang berdiri dekat itu dengki dengan kesempurnaan gambar tersebut.

Notakeyboard: Rujuk surat cinta kedua, ayat ke 191

Thursday, May 31, 2012

Soalan Cepu Cemas: Kenapa Tak Kahwin Lagi?


Saya dah tak larat menjawab soalan yang satu ini. Kalau dulu, pelbagai jawapan boleh saya berikan. Tetapi maklum sajalah, jawapannya semua yang menyimpang dari soalan asal. Sekarang ini, kalau ada yang bertanya, saya cuma nak jawab.

“Tuhan belum gerakkan hati mana-mana lelaki untuk masuk meminang saya.”

Kalau disuruh memilih, saya akan kata saya berkenan dengan Anuar Zain. Tapi hey, siapa saya. Maka sekarang saya berkenan dengan Incik Saharil Hasrin Sanin. Tak kenal? You are so yesterday.

Kalau ada yang berkata dan mengata sekiranya seseorang perempuan itu masih belum berkahwin itu rugi KERANA dia tidak dapat berbakti, maka saya mahu orang tersebut periksa di mana letak duduk otaknya. Jangan sempitkan konsep berbakti HANYA melalui perkahwinan.

Isu ini timbul bila saya berbincang dengan seorang rakan sejawat. Soalan yang sama dilontarkan kepadanya walaupun orang yang bertanya itu adalah orang yang sedia maklum dengan latar belakang rakan ini. Perempuan, kalau anda masih belum berkahwin, jangan kesal mengeluh kesah kak esah. Jika anda masih ada ibu bapa, curahkan bakti anda kepada mereka. Ramai yang mungkin tidak perasan, mereka inilah yang paling banyak menyumbang untuk keluarga di kampung, paling cepat tiba jika ada perkara berlaku, paling tidak banyak songeh bila diberikan tugas. Tapi kami juga ada hati.

Kalau dikata memilih, jawapannya memang harus memilih. Cuba periksa setiap satu barangan yang anda ada, ada tak yang ada tidak pilih, hatta barangan dari kedai RM 2. Ada sebab kenapa anda pilih untuk beli barang itu dari kedai tersebut. Kalau dikata jika membeli barangan pakai buang tidak perlu memilih, biar saya cucuk biji mata oarng tersebut. Kanta lekap yang saya pakai dari jenis pakai buang (daily) pun saya pilih jenamanya!

Pra syarat bakal suami saya tidak dikira sangat dari segi paras rupa. Anda tidak perlu bergaya sangat seperti Anuar Zain atau bijak bistari seperti Saharil. Tetapi tolonglah jangan kemproh sangat. Penampilan itu penting kerana ya, saya perempuan yang jangok. Taraf pendidikan sekurang kurangnya ijazah sarjana muda dan tolong, tolong jadikan membaca itu satu keperluan hidup anda. Bukan sekadar surat khabar, tetapi bahan bacaan bermutu. Ayah saya sendiri selari minat membacanya dengan saya.

Syarat utama- agama.

Syarat kedua- perlu menerima hakikat, sekiranya anda berkahwin dengan saya, saya ada abang anak istimewa yang berada di bawah tanggungjawab saya. Yang sekiranya Ayah saya pergi dulu (saya tidak mendoakan Ayah saya pergi awal, tetapi mati itu pasti), abang saya berada di bawah tanggungjawab saya.

Syarat ketiga- bukan sekadar anda menerima keadaan abang saya, tetapi keluarga anda juga. Tak perlu tipu saya, stigma orang keliling masih ada. Khuatir anak akan menjadi sebegitu rupa juga. Janji Tuhan, setiap anak ada rezekinya. Maka, percaya.

Syarat keempat- menerima saya dengan idea gila saya juga. Minat dan cinta saya- dunia pendidikan, drama (teater), menulis dan cinta baru saya- silat.

Syarat kelima- hakikatnya saya ada seorang kawan baik yang berjantina lelaki. Teman susah senang ketawa menangis bergaduh sejak 12 tahun yang lepas. Hubungan kami platonik- tanpa sebarang rasa cinta. Jangan terkejut sekiranya dia lebih faham saya (kadangkala) berbanding saya memahami diri saya sendiri.

Amacam?

Wednesday, May 30, 2012

Wordless Wednesday

Theme: Oh-Not-So-Random-Pics-From-My-Handphone











Tuesday, May 29, 2012

Mari Bersampin

Ahad lepas. Saya membawa tiga orang hulubalang untuk beraksi di sebuah majlis. 


Aksi hulubalang dengan anak tuan rumah. Kesemuanya anak-anak yang belajar silat (termasuklah orang yang ambil gambar tu).


Punyalah risau saya tak reti mengikat sampin untuk mereka. Sebabnya, ikatan sampin bagi pesilat sedikit berbeza dari yang biasa. Ikatan samping yang biasa digayakan sama ada berdagang dalam mahupun luar kurang praktikal untuk mereka. Sukar untuk membuka langkah.

Tetapi terima kasih kepada Youtube, saya dapat juga pakaikan mereka dengan ikatan ini.
*Cuba sendiri kat diri sendiri 3, 14 kali. Kalau saya pakai sepersalinan lengkap dengan sampin, saya rasa saya pun hensem juga. Ha ha.*

Cara mengikat adalah seperti tutorial di bawah.


Phew! #lappeluh

Tuesday, May 08, 2012

Jiwa

Aku peluk Maria. Kaunselor di hadapan kami sedang menulis terpinga-pinga.
Kenapa?
Aku balas. Stress.

Kaunselor berdiri dan peluk aku.

"Ay dah kurus."

Ya, kerana hal ini, berat aku turun mendadak. 4kg dalam masa sebulan. Hebat. Tak perlu berdiet.

Waktu itu, aku terasa. Alangkah bagusnya kalau Emak yang memeluk aku ketika itu. Al- Fatihah.

Sunday, May 06, 2012

Mahmudah Versus Mazmumah

Tempat untuk saya membebel dengan diri sendiri adalah di mana burung biru berkicau. Yang kadangkala tiba-tiba ada paus comel terdampar kesedihan. *ayat madah berhelah*

Saya taip (di bawah ini adalah versi yang telah diedit kerana terdapat kesalahan):
"Setiap manusia ada masa lampau yang tidak mahu dikenang. Ianya ibarat hantu yang muncul *plop* tiba-tiba dan *plop* hilang sekelip mata.
Jadi hantu ini sentiasa menghantui kita. Kita takut orang tahu/ nampak hantu ini.
Jadi, untuk memastikan hantu ini tidak menghantui kita, maka janganlah kita memberi tahu sesiapa tentang kehadiran hantu ini dalam hidup kita.
Juga, janganlah kita mendedahkan hantu (kisah silam/ aib) orang lain."

Dalam keadaan diuji ini, saya berperang dengan syaitan yang ada dalam diri. Sabar, sabar, sabar.

Moga Mahmudah menang besar dalam perlawanan menentang mazmumah.

notakeyboard: Saya mohon doa dari murid saya supaya saya menang moral dalam situasi ini. Murid-murid bagi saya bukan sekadar murid, tetapi mereka anak-anak saya.

Friday, May 04, 2012

Trivia Bulan Tiga dan Empat

Saya sedang diuji oleh Tuhan.
Dengan kesibukan dan kepenatan pada bulan tiga.
Yang mana ia menjadi satu fitnah melarat di bulan empat.

Air mata jadi mudah. Kilang air mata beroperasi dengan baik, mencuci segala kotoran mata (secara literal dan harafiahnya- dosa yang dibuat oleh mata secara sengaja dan tidak sengaja). Tidak perlu menonton 1 Liter of Tears.

Saya mengira-ngira sifir hidup.
"Tuhan menguji kita kerana Dia sayangkan hambaNya"
"Tuhan tidak akan menguji kita dengan ujian yang kita tidak mampu pikul."
"Tuhan tidak akan mengubah nasib sesebuah kaum selagi mereka tidak berusaha mengubahnya."
"Tuhan mendengar doa orang yang terainaya."
"Setiap kesusahan pasti akan ada penyelesaiannya."

Saya bukan terlalu fasih dengan ilmu agama. Masih banyak yang saya tidak tahu dalam saya tahu. Tapi dengan sedikit pengetahuan yang saya faham, saya amalkan.

Ilmu yang tidak diamalkan ibarat pohon yang tidak berbuah.
Walaupun.
A little knowledge is a dangerous thing.

Saya sedang cuba berlapang dada dengan ujian ini. Moga saya kuat, moga ada penyelesaian yang baik dan moga ia menjadi ibrah (teladan) kepada mereka yang tahu hal ini.

notakeyboard: Trivia ini dikategorikan sebagai tak aci. Sebab campur bulan tiga dan empat sekali. Tapi gua busy bai! (takkan nak menulis dalam keadaan emosi, nanti menyesal)

Monday, April 16, 2012

Ultah

Hari ini genap 4 tahun Emak saya pergi. Maka saya hendak membebel panjang. 

Okay, tak mahu.

Tapi biar saya kongsikan apa yang Fynn Jamal coretkan di laman Facebooknya. (Kak Fynn, saya suka dan setuju dengan apa yang akak kata!)

*kilk gambar untuk membaca dengan lebih jelas*

notakeyboard: Trivia Bulan Tiga belum ada lagi. Tunggu ya. Mungkin saya buat backdated. Terlau banyak sangat dating yang perlu dikejar. Eh eh, date (tarikh) yang perlu dikejar.

Kamu baca subteksnya kan? 'Bijak' sungguh kamu menafsir.

Ujian

Satu pesanan Abang Zaidie yang saya tak mungkin lupa,
"Bila adik mula berlatih, akan banyak ujian yang datang. Adik kena ingat betul-betul tu. Adik kena kuat."

Satu pesanan dari Kalai, bekas teman lelaki kawan saya juga merangkap kawan/ senior saya di maktab.
"Man, I thought my problem was bad (breaking up with his girlfriend). Yours is even worst (when I told him about my mum had passed away). Believe me Ain, if you can go through that time, that situation, you can handle anything. Any problems."

Saya tak ingat petikan di bawah ini dari surah yang mana, apatah lagi ayat ke berapa. Tetapi kenalan di laman maya selalu memetik,
"Tuhan uji kita kerana dia sayangkan kita."
Tambah mereka,
"Jangan diminta dikurangkan ujian. Tetapi pintalah supaya lebih dikuatkan iman."

notakeyboard: kepada yang terasa dan ingin menyebarkan, mungkin hari ini, ketika ini saya diuji. Mungkin akan datang, anak atau ahli keluarga anda yang kena. Ketika itu, apa reaksi anda agaknya?



Najwa Mahaddin kata,
"Senyum, tak perlu kata apa-apa"

Sunday, April 01, 2012

Bukan April Fool

Ini abang saya.

Sebab saya panggil dia abang. Dia panggil saya adik. Okay, sweet, kan?

He he.

Hari ini hari jadi dia. Saya baru tahu hari ini. Itu pun selepas adegan terjun tiruk, jerit-jerit, tolak menolak di tepi kolam. Maaf, ini bukan pool party tetapi kami sedang mengadakan perkhemahan gabungan. Dengan baju separuh kering-lembap, pelajar saya yang iras iras Lisa Surihani (ada yang kata rupa Ana Raffali) menyanyikan lagu Happy Birthday kepada abang kami ini.

Abang, terima kasih sebab membantu dan mengajar saya.

notakeyboard: Hari ini juga hari jadi emak kawan baik saya. Puan Faridah Munafaat, selamat hari jadi!

Tuesday, March 20, 2012

Telepati

Satu sms masuk.

'Assalamualaikum Nurul. Esok pagi print dan naikkan senarai nam pelajar yang dapat pergi ke kem (perkhemahan), boleh?'
'Wsalam. Okay, memang dah terfikir nak buat macam tu pun,'
'Hmmm... Bagusnya."

Lokasi: Pejabat

"Nurul tak nak pergi tengok MSSD Sabtu ni ke?"
"Hm. Dah agak dah akan tanya soalan macam tu."
"Ni macam mana boleh tahu ni? Ni mesti ada ilmu ni?"
"Ha ha."

Bos, dekat 3 bulan saya jadi setiausaha bos. Saya dah boleh ikut rentak bos, habit bos. Dan saya juga mula memahami dan menerima tanggungjawab dan kesibukan jawatan saya.

Tak ada ilmu rahsia.

Tak ada telepati.

Cuma...








Paham-paham tugas sendiri la...

Tuesday, March 13, 2012

Motivasi

Kadangkala saya rasa lemah. Hampir semua kudrat saya kerahkan untuk kerja saya. Hampir 12 jam berada di tempat kerja, anda boleh menebak keadaan saya.

Kadangkala saya terfikir, kenapa saya perlu bersungguh-sungguh bersusah payah dengan kerja saya? Padahal saya masih boleh berperangai seperti biasa, seperti sebelum ini.

Amanah.

Mampukah saya menjawab di sana nanti tentang amanah yang diletakkan di atas batu jembala saya?

Dan bila lemah, saya akan buka semula satu pesanan ringkas yang saya terima dari bos saya.

"Syukur Nurul boleh diharap. Tqvm" 

Ringkas. Tapi cukup buat saya dihargai dan bersemangat semula.

notakeyboard: Sebab itulah tagline L'Oreal 'kerana dirimu begitu berharga'. Tak gitu?

Friday, March 02, 2012

Trivia Bulan Dua

"Dari skala 1 hingga 10?" soalku.
"Abang bagi adik 6" balasnya.

Kadangkala abang Zaidie panggil saya adik. Jujurnya saya suka. Bunyinya cukup klasik. Dan bunyinya cukup manis di telinga, intonsinya tidak sama dengan frasa 'cik adik'.

notakeyboard: Syukur kini saya sudah bergelar pelajar beruniform semula. Terima kasih abang Zaidie kerana sudi mengajar saya.

Monday, February 27, 2012

Sokongan Yang Tidak Terlihat

Kadangkala kita tidak tahu, sebenarnya ramai yang menyokong kita dalam diam. Maka kita menyangka orang tidak peduli. Sehingga ada yang cuba menjatuhkan kita, tanpa kita sedari, ada suara yang melintaslalu menyatakan dokongan yang tidak terduga.

Itu yang terjadi kepada saya.

Saya kita orang tersebut ada masalah dengan saya. Puncanya saya sendiri tidak maklum. Saya cuma buat apa yang saya suka. Bukan untuk membangga diri, tetapi kerana minat. Tujuannya juga untuk kebaikan anak-anak yang saya ajar.

Anak saya diperlekeh. Pastinya saya berang. Bila saya bersemuka dengannya, dia menyindir saya semula. Katanya kalau tak sedia mendengar komen, kritikan, sila duduk di gunung. Sebagai dewasa yang sudah baligh lagi mumaiyiz, saya kira itu satu bentuk pendedahan terhadap kebodohan diri sendiri. Mendedahkan keburukan diri dengan mengeji orang lain.

Saya akui saya hampir lemah. Mujur ada kenalan di laman maya yang memberi semangat.

Dan sehari selepas acara, pihak atasan mengucapkan tahniah kepada saya di atas usaha saya.

Trilogi Monolog Mencari Jiwa

Saya hasilkan skripnya kurang lebih 24 jam. Petangnya terus sesi membaca skrip dan memilih satu watak terakhir. Latihan dengan anak-anak saya hanya 3 hari, kurang lebih 6 jam sahaja.

Anak-anakku, saya bangga dengan komitmen dan semangat anda!

Wednesday, February 15, 2012

Rabak

Kepala agak serabut. Saat entri ini ditaip, saya sedang mendengar lagu Kau Ilhamku oleh Man Bai. Bukan kerana saya suka sangat lagu ini, tetapi ketika terbangun dari tidur petang tadi, saya terdengar lagu ini di tv (lagu latar untuk sebuah iklan). Lantas saya mendapat idea. Ting!

Kerja makin bertambah dan saya sering tertanya berapa kuat saya untuk melenturkan diri dan masa untuk menyiapkan semuanya?

Kurang seminggu, majils persaraan pengetua akan berlangsung. Baru hari semalam saya mendapat tahu secara rasminya secara hitam putih bahawa saya perlu menyediakan persembahan pelajar. Seminggu? Standard saya, paling kurang sebulan kalau untuk sketsa. Sebab saya berurusan dengan budak kecil. Tingkatan 2.

Sebulan adalah minima. Skrip, pemilihan pelakon dan krew, latihan. Ini asas. Saya bukan professional dalam bidang ini. Yang meneruskan saya dengan hal begini cuma minat dan kesungguhan. Saya mencabar diri sendiri.

Harap saya dapat bersabar dari rabak dengan tugasan yang menimbun.

Amanah.

Wednesday, February 01, 2012

Trivia Bulan Satu

Bos saya panggil saya dengan nama pertama saya.

notakeyboard: Tak ramai yang panggil saya macam ni. Tapi ia sebahagian dari nama saya juga, cuma ia bukan kebiasaan. Untuk kawan kesayangan, saya lebih suka awak panggil saya- ay. Seperti mula-mula kita kenal.

Monday, January 30, 2012

Recce

Ikut bos.

Kem Lambaian Danau, Jasin, Melaka

Kem PLKN Sri Ledang, Jementah, Johor

Kau agak bos pilih yang mana?

Saturday, January 28, 2012

Sayang

Saya bodoh. Dan tidak sedar. Baru hari ini saya perasan.

Tidak semua orang yang kita sayang, menyayangi kita sepertimana kita menyayangi mereka.

Tak mengapalah. Asalkan ikhlas. Walaupun saya tak tahu apa sebenarnya dalam hati mereka.

Friday, January 20, 2012

Mode Super Sibuk

Dua tiga hari kebelakangan ini, twit pun jarang. Saya melompat dari kelas ke kelas. Antara waktu kelas, menguruskan entah apa pun yang saya sendiri tak faham. Kadang kadang saya keliru dengan diri sendiri.

Ini adalah hubungan cinta-benci antara saya dan kerja.

Cuti Tahun Baru Cina ini, bos ajak pergi cari tapak perkhemahan. Mungkin sejauh Melaka dan Negeri Sembilan. Sebenarnya kedua negeri ini tidak jauh. Sebab daerah saya bersempaan dengan kedua negeri ini.

Tapi masih, saya bekerja waktu cuti.

Hidup saya memang hebat. Mungkin saya boleh mula berusaha supaya diundi memenangi anugerah Pekerja Super atau pun APC. Bukan APC Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Tetapi Augerah Paling Comel.

Ah sudahlah mengarut. Selamat bekerja dan berhujung minggu.

#np- The Cure, Friday I'm in Love

Friday, January 13, 2012

Naik Pangkat

Entri pertama tahun 2012. Hari Jumaat.

Minggu lepas, sebelum LET Programme saya berbual dengan KP dan seorang lagi cikgu BI. KP saya mengucapkan tahniah kerana secara rasminya saya sudah dikira naik pangkat. Ya, dilantik menjadi setiausaha kokurikulum juga dikira naik pangkat (bagi dia). Tak tahu samada saya patut mengatakan terima kasih atau bersedih. Efek pertama yang saya dapat dari jawatan ini adalah penat melampau dan kaki lenguh. Berjalan dari satu kelas ke satu kelas mengutip maklumat kokurikulum pelajar. Kalau ditanya kenapa, sebab sekolah saya tidak mengumpul data ini sejak dulu lagi. Baru tahun ini hendak bermula.

Tak mengapalah. Hidup ini satu cabaran.

Tetapi yang menggembirakan saya, kawan-kawan di sini juga ada yang sudah naik pangkat (ada jawatan di sekolah dan tempat kerja di luar). Kamarul, partner kegemaran saya untuk bertugas, sudah menjadi penyelaras badan beruniform. Secara tidak langsung dia bekerja dengan saya juga. Asalnya saya terkilan kerana dia sudah tidak lagi bersama saya di bahagian pencegahan dadah. Tiga tahun kami berpasangan untuk program-program dadah, alih-alih dia 'dicuri' dari saya. :'( Tetapi sekarang saya boleh tersenyum kerana kami sekepala dan saling membantu. Ah, mudah sungguh bekerja dengan dia. Saya suka!

Seorang lagi kawan saya yang naik pangkat, Abang Zaidie. Jika anda baca entri Projek Master Saya, anda akan jumpa nama dia. Semalam ketika kami berbincang tentang aktiviti sekolah, dia memaklumkam bahawa dia sudah di naikkan pangkat kepada Koperal dalam unit polis bantuan. Tahniah Abang!

Sebagai kawan apa lagi yang saya boleh ucapkan? Selamat bertugas abang-abang saya!